Alhamdulillahirabbil a’lamin.. Segala puji bagi ALLAH pemelihara sekalian alam.. Ucapan Selawat “Sallallahu a’la Muhammad, wa a’la alihi wa sohbihi ajmai’n” kepada junjungan besar Nabi Kita.. Para sahabat, para a’limin, tabi’ dan tabi’in..dan seterus nya kepada seluruh umat islam sama ada yang masih hidup atau pun yang sudah meninggal dunia..
10 haribulan 10 tahun 2010 akhirnya dengan izin ALLAH dapat lah ana menghadiri sebuah majlis ilmu. Ana rasa ana adalah antara insan yang terpilih dalam ribuan mahasiswa ada di tempat ana sambung pengajian. Cukup padat, menarik, mantap dan bersahaja penyampaian kuliah maghrib yang di sampaikan oleh Ustaz Azhar Idrus dalam masa satu jam. Tak banyak, hanya sepotong hadis tetapi al-fadil ustaz mampu menyampaikan dengan panjang lebar. Tiada makanan yang paling lazat selain mendapat makanan rohani bagiku.
Ana khilaf kerana tidak membawa buku catatan, telefon ana juga tidak berfungsi untuk merakam suara al-fadil ustaz, maklumlah.. ana tak kuat ingatan. Mudah sangat lupa, ini lah kelemahan yang membelengu diri. Tetapi tak mengapa, ana tetap bersemangat untuk menceritakan sedikit sebanyak apa yang ana faham, yang ana dapat digest berkat izin dari NYA member pemahaman dalam menuntut ilmu. Jadi, ana mohon maaf awal-awal lagi sekiranya apa yang ana sampaikan ini tidak sempurna atau tersalah tafsir. Tajuk khusus untuk kuliah maghrib ni tak ada, tapi ana boleh simpulkan yang ianya berkisarkan “Hakikat Kebahagiaan”.
Dalam sebuah hadis Nabi bersabda bahawa, ada empat perkara yang boleh membutkan seseorang itu bahagia. Yang pertama, dikurniakan rezeki dari Allah. Kedua, bersahabat dengan orang-orang soleh. Ketiga, mempunyai anak yang soleh. Dan yang keempat, memiliki suami yang soleh atau isteri yang solehah.
Huraian bagi perkara yang pertama , sesorang itu akan bahagia apabila mendapat rezeki dari ALLAH. Apabila kita menyebut soal rezeki, tidak ramai diantara kita yang faham tentang konsep rezeki yang sebenar. Kadang kala, kerana rezekilah seseorang itu akan dihumbankan ke dalam azab neraka. Ini kerana, hamba Allah tersebut telah menggunakan cara yang salah untuk mencari rezeki. Atas alasan mencari rezeki, maka si hamba tersebut dengan sesuka hatinya melanggar segala perintah Nya tanpa rasa bersalah. Contoh yang paling dekat ialah, meninggalkan solat fardhu yang wajib ditunaikan. Sibuk dengan urusan itu dan ini sehinggakan tiada masa sedikitpun untuk sujud menyembah Ilahi. Sungguh tidak malu menggunakan seluruh ni’mat yang tidak berbayar tetapi sombong dan kikir masa yang diperuntukkan untuk Allah. Kerana sibuk mencari rezeki, jauh diri dari masjid, jauh dari majlis-majlis ilmu. Kerana ketamakkan hamba-hamba Allah itu tadi, mereka sangka mereka boleh hidup bahagia. Salah! Ana teringat ayat-ayat al-fadil ustaz lebih kurang, “orang yang banyak duit, belum tentu lagi dia orang yang senang” Ini kerana orang yang senang adalah orang yang bila mana ALLAH menyeru untuk sujud, dia mampu untuk sujud. Bila dia nak bergerak dia boleh berjalan, bila dia nak makan dia bebas memilih apa sahaja yang dia mahu.
Berbeza dengan orang yang banyak harta, mereka tidak dapat meni’mati segala kesenangan tersebut. Walau berapa banyak biji kereta mewah yang dimiliki, dia tetap tak dapat menaikinya. Dia hanya mampu menaiki kerusi roda. Makanannya pula hanya ubat-ubatan bersulamkan air kosong. Lihat lah betapa ALLAH memiliki kuasa yang Maha Hebat, yang mengizinkan segala sesuatu mengikut kehendaknya. Oleh sebab itu, harapkanlah rezeki yang datang nya dari ALLAH, bukan dari manusia. Hakikatnya, terlalu ramai yang patuh pada perintah manusia dan ingkar pada Allah. Main taktik kotor untuk mencari rezeki dengan riba’,judi dan segala macam. Bagi mereka yang faham tentang konsep rezeki, dia akan sentiasa menjadikan apa saja yang berlaku pada dirinya itu sebagai tazkirah atau ingatan untuknya dari ALLAH. Contohnya, jika ALLAH tidak mengurniakan rezeki kepada kita, makanan yang dipegang juga boleh terjatuh dan ianya telahpun menjadi makanan pada makhluk lain seperti ayam atau kucing. Bagi hamba ALLAH yang tidak faham sudah tentu makhluk tadi dimarahi, dimaki hamun bahkan ada yang sanggup melakukan kezaliman terhadap makhluk tersebut. Kesi mpulannya, ajari dan ingatkan diri tentang hakikat sebenar bagaimana cara-cara untuk mendapatkan rezeki yang dikurniakan oleh ALLAH SWT yang diredhai NYA.
Perkara yang kedua, yang boleh membuatkan seseorang itu bahagia adalah memiliki sahabat yang soleh. Sahabat soleh itu adalah sahabat yang baik, dimana mereka sedikitpun tidak menyusahkan kita. Dia sentiasa memudahkan urusan kita. Bila diberi amanah dia jujur dan sebagainya. Ibarat berkawan dengan penjual minyak wangi, kita juga akan terpalit dengan wangian yang harum. Contoh yang diberi oleh al-fadil ustaz yang bunyinya lebih kurang, “bila kita pergi satu kedai kopi, kita ternampak kawan-kawan lama yang buruk akhlak dan penampilannya sudah pasti kita akan dituduh bahawa kita juga seperti mereka” dan sebaliknya jika kita duduk semeja dengan kumpulan a’limin, kita juga akan dianggap seperti mereka. Banyak cabaran bagi mereka yang berkawan dengan rakan-rakan yang kurang akhlaknya terutama sekali dalam bab menegur dan berbuat kebajikan. Contohnya, kita akan disindir dan dipersendakan sehingga malu untuk berbuat baik. Segalanya akan terbatas. Malah sedikit sebanyak perbuatan jahat si rakan akan mempengaruhi diri kita kelak. Nauzubillahimin za likh! Oleh itu, dekati golongan soleh untuk hidup aman bahagia.
Yang ketiga, dengan memiliki anak yang soleh seseorang itu akan bahagia. Rugilah bagi mereka yang tidak mahu memilki anak. Anak yang soleh ini adalah anak yang setiap hari mendoakan ibu bapanya. Seusai solat, dia akan meminta “Ya Allah Ya Tuhanku, ampunilah dosa kedua ibu bapaku, dan kasihanilah mereka sebagaimana mereka mengasihaniku sejak dari kecil”.. maka bahagialah si ibu dan bapanya di akhirat kelak. Oleh itu, didiklah anak-anak dengan didikan yang sempurna. Jangan biarkan mereka melakukan perkara-perkara yang dimurkai ALLAH depan mata ibu bapa sendiri. Membiarkan anaknya mendedahkan aurat tanpa menegur, malah ada yang senang-senang membiarkan anak perempuannya keluar berduaan dengan yang bukan mukhrim! Gara-gara “sporting”, maka bebaslah anak-anak itu tadi melanggar batas-batas pergaulan. Ingatlah duhai ibu bapa, “bagi ibu bapa yang membiarkan anak-anak melakukan kemungkaran didepan mata, maka ibu bapa itu akan disiksa dengan sekeras-keras azab dari NYA”.
Dan yang terakhir, seseorang itu akan bahagia jika memiliki suami yang soleh atau isteri yang solehah. Isteri yang soleh ialah seorang yang sentiasa bersiap sedia untuk suaminya. Jika dipanggil suami, si isteri tadi akan datang dengan pantas. Sentiasa peka dengan kehendak suami. Makan pakainya djaga dengan rapi. Baginya suami mempunyai taraf yang lebih tinggi daripada Raja. Layanan mesranya yang tidak pernah kurang buat si suami yang menjadi penghibur hati. Tempat tidur dijaga rapi, kedaaan bilik yang selesa dan sentiasa awal masuk kebilik sebelum suami hendak tidur untuk menyiapkan diri selengkapnya. Suami yang soleh pula sentiasa memberi ganjaran-ganjaran kepada isteri diatas kebaikan melayaninya selama hidup bersama. Nafkah sentiasa dijaga. Rezekinya dibahagikan dengan cermat dan bijak. Tidak dibazirkan dengan perkara-perkara yang tidak berfaedah. Ada diantara suami yang sanggup berhabis duit untuk “modified” kereta dan sebagainya sehingga terbengkalai keperluan rumah. Al-fadil ustaz ada mengatakan “sungguh rugi bagi mereka yang mempunyai suami yang sebegitu, suami yang tidak solat, yang tidak boleh menjadi pemimpin”. Ini kerana tidak menjadi masalah sekiranya lelaki yang baik memperisterikan perempuan biasa, sebaliknya padah bagi perempuan baik yang bernikah dengan lelaki yang tidak boleh menjadi pemimpin kepadanya, tidak boleh menjadi ketua keluarga. Maka berhati-hatilah dalam memilih pasangan.
Begitulah sedikit sebanyak ingatan dari al-fadil ustaz yang ana dapat kongsikan, segala yang kurang dan cacat cela dalam ana menafsir itu adalah kerana dosa-dosa ana yang mungkin saja menghijab kebaikan yang sepatutnya disampaikan. Semoga coretan ringkas ini mendatangkan manfaat pada kita. wallahua'lam, ana fakir ila ALLAH!
subhanallahiwabihamdihi..subhanallahil 'adzim... allahu allah!
No comments:
Post a Comment